I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ramadan Mubarak

Pertandingan Bowling di Alamanda,Putrajaya

Majlis Sambutan Hari Lahir Pegawai Pasukan C ( MAC,APRIL & MEI)

Rekreasi Pasukan C ke Jeram Toi

Visa waktu ketibaan masih relevan?

8:22 AM Posted In Edit This 0 Comments »
Visa waktu ketibaan (VOA) telah diperkenalkan pada tahun 2006 dan ia digunakan pada 2007 sebagai salah satu mekanisme untuk menggalakkan pelancong asing ke Malaysia. Tidak dapat dinafikan sejak pengenalan VOA, ia telah mendatangkan masalah terutama kewujudan migrasi yang tidak sah atau pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sejak diperkenalkan sehingga tahun 2009, jumlah warga asing yang tinggal lebih masa dengan menggunakan VOA adalah seramai 75,462 orang atau 28 peratus daripada 271,391 pemegang visa tersebut yang kebanyakan datang dari India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan China.

Walaupun ia dilihat sebagai landasan peningkatan PATI, namun peranannya sebagai salah satu mekanisme untuk menggalakkan pelancong asing datang ke Malaysia adalah dianggap masih relevan.

Tambahan, Kementerian Pelancongan mengumumkan industri tersebut telah berjaya menjana pendapatan negara sebanyak RM60 bilion dan dijangka akan bertambah pada masa hadapan dengan meningkatkan strategi pemasaran.

Justeru, adalah sukar untuk kita menafikan peranan VOA terutama dalam meningkatkan industri pelancongan di Malaysia. Ini kerana selain kestabilan politik dan ekonomi yang wujud di Malaysia, pelancong juga inginkan kemudahan terutama dalam proses untuk memasuki sesebuah negara. Oleh itu, dengan kerenah birokrasi yang pelbagai mungkin ia akan menjejaskan minat seseorang untuk melancong ke sesebuah negara.

Apa yang perlu dilakukan ialah bukan menuding jari kepada sistem tersebut tetapi koordinasi antara agensi-agensi berkaitan perlu ditingkatkan dan diperkemaskan bagi memastikan sistem ini dapat dilaksanakan dengan lebih efektif tanpa menimbulkan masalah terutama yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam meningkatkan tahap keberkesanan tersebut, pelaksanaan VOA perlu mempunyai koordinasi dan pemantauan yang jitu terutama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan.

Agensi-agensi yang berkaitan pula perlu mempunyai suatu pelan yang komprehensif dan realistik supaya objektif VOA dapat dicapai dan kedaulatan negara tidak tergadai. Situasi ini adalah sama seperti isu pengambilan pekerja asing dan pelajar asing.

Pihak-pihak yang terlibat seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri juga perlu meningkatkan kerjasama dan pemantauan bersama supaya isu-isu yang berkaitan PATI ini dapat ditangani dengan berkesan.

Ini kerana masalah warga asing yang tinggal lebih masa bukan hanya berlaku dalam konteks pelancongan sahaja, tetapi ia juga boleh melibatkan sektor-sektor lain seperti pendidikan dan pekerjaan.

Oleh itu, antara tindakan drastik yang boleh digunakan oleh kerajaan bagi mengekang isu ini ialah dengan mengantungkan kemudahan VOA kepada negara-negara yang rakyatnya terlibat dalam penyalahgunaan visa tersebut.

Langkah ini bertujuan supaya negara terbabit lebih serius dan meningkatkan penguatkuasaan terutama isu yang melibatkan PATI. Tindakan ini dirasakan tidak menjejaskan industri pelancongan negara.

Kerana kebanyakan negara yang terlibat dalam isu penyalahgunaan VOA merupakan negara-negara yang diketahui mempunyai masalah tertentu seperti pengangguran yang tinggi, ekonomi domestik yang tidak stabil, keadaan politik yang tidak menentu dan peningkatan populasi penduduk.

Berdasarkan situasi tersebut, besar kemungkinan kedatangan mereka bukanlah disebabkan untuk tujuan pelancongan tetapi mungkin ada sebab-sebab lain terutama ingin mendapatkan pekerjaan.

Di samping itu, kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pihak-pihak kedutaan di negara berkenaan dalam meningkatkan pemantauan dan memperkemaskan penyelarasan supaya isu penyalahgunaan ini dapat dibanteras dengan berkesan.

Mungkin kita boleh meminta kerjasama dengan pihak kedutaan supaya setiap pelancong yang ingin menggunakan sistem VOA ini perlu menyediakan bon jaminan seperti mengenakan bayaran dan meletakkan pasport mereka di pejabat kedutaan dan mereka hanya diberikan kad tertentu sebagai ganti identiti diri mereka.

Dua penjamin dari negara asal juga perlu diberikan supaya ia boleh menjadi penghalang kepada kegiatan penyalahgunaan berleluasa. Jaminan ini adalah perlu untuk mencari penyelesaian terutama yang melibatkan isu-isu migrasi haram di negara kita.

Pada masa yang sama kerajaan juga perlu menguruskan pelancong-pelancong yang datang ke negara ini dengan efisien dan efektif terutama dalam meningkatkan tahap keselamatan. Aspek keselamatan menjadi keutamaan kepada pelancong sebelum mereka membuat keputusan untuk melancong ke sesebuah negara.

Pengurusan sistem VOA yang tidak efisien akan memberi implikasi yang buruk kepada negara dan mengancam keselamatan negara sama ada dalam aspek ekonomi, politik dan sosial. Ini kerana sesetengah PATI akan menggunakan landasan ini sebagai suatu tren migrasi yang baru.

Mungkin sebelum ini mereka terpaksa datang ke Malaysia melalui laluan tikus, tetapi sekarang mereka akan menggunakan laluan yang sah dan terbuka. Dari aspek ekonomi, kehadiran warga asing ini akan memberi implikasi yang buruk terutama dalam sektor pekerjaan.

Secara rasionalnya, kebanyakan warga asing yang tidak dapat dikesan adalah datang daripada negara yang mempunyai masalah tersendiri terutamanya aspek ekonomi. Bagi tujuan survival mereka, sudah tentu kita boleh menjangkakan mereka akan cuba untuk mendapatkan pekerjaan dan akhirnya mereka dikategorikan sebagai pekerja asing tanpa izin.

Oleh itu, penglibatan mereka boleh meningkatkan persaingan sama ada dalam konteks perniagaan atau pekerjaan di kalangan penduduk tempatan.

Di samping itu, ia juga boleh membawa kepada kesan politik dan keselamatan negara. Ini kerana pernah suatu ketika semasa negara mengambil pekerja-pekerja Indonesia, kerajaan telah dituduh mempergunakan mereka untuk memperkuatkan parti-parti politik berasaskan Melayu.

Jika keadaan tersebut diambil kira, maka hampir 40,000 warga India yang didapati hilang kerana menyalahgunakan VOA boleh dianggap sebagai memperkuatkan komuniti India oleh pihak-pihak tertentu.

Persepsi seperti ini jika berterusan ditakuti akan mewujudkan konflik perkauman sementa negara kita sekarang dilanda pelbagai isu-isu agama dan perkauman. Manakala, hubungan diplomasi antara kerajaan juga akan terjejas apabila warganya terlibat dalam isu keselamatan negara seperti pengganas atau militan.

Di samping itu, sesebuah negara itu juga akan dituduh sebagai negara pengganas dan mendapat kecaman daripada masyarakat antarabangsa.

Tingkat survival yang tidak dapat dicapai oleh warga asing ini akan mendatangkan ancaman keselamatan negara terutama dalam menambah masalah sosial. Ini kerana mungkin untuk meneruskan kehidupan, mereka terpaksa melibatkan diri dengan aktiviti jenayah seperti merompak, mencuri, meragut atau terlibat dalam aktiviti haram seperti pelacuran atau buruh paksa.

Dengan itu, penyalahgunaan VOA ini juga boleh menjadi pemangkin kepada aktiviti jenayah terancang terutamanya aktiviti pemerdagangan orang.

Ini kerana pihak sindiket yang berkaitan akan menggunakan platform ini secara berterusan sebagai laluan utama dalam menjalankan aktiviti pemerdagangan orang sama ada dalam konteks eksploitasi seks atau pekerjaan.

Contohnya dalam isu pelacuran, warga asing yang terlibat akan menjalankan aktiviti ini dalam tempoh VOA itu dan kemudian pihak sindiket akan menggantikan orang lain bagi permohonan yang baru.

Pihak sindiket juga akan mengubah taktik kemasukan mangsa diperdagangkan supaya lebih bersifat lawatan keluarga dengan mempergunakan wanita dan kanak-kanak.

Taktik ini dipercayai dapat mengelak kegiatan mereka dihidu dan seterusnya mengaburi pengawasan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, lawatan Perdana Menteri ke India diharap dapat membincangkan dan mencari penyelesaian yang efektif kepada isu ini secara menang-menang.

Lantaran itu, pihak kerajaan diharap dapat mencari suatu mekanisme yang benar-benar berkesan dalam menangani masalah penyalahgunaan VOA di kalangan warga asing di negara kita.

Ini kerana, negara akan mengalami pelbagai masalah terutamanya akan melibatkan peningkatan PATI di negara kita. Di samping itu, masyarakat tempatan juga akan memberi tekanan dan mengecam cara pengurusan yang dilakukan oleh kerajaan.

Peningkatan kecekapan dan integriti di kalangan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas adalah sangat diharapkan. Kita tidak mahu pihak lain atau sistem yang disalahkan sedangkan pihak yang diamanahkan tidak menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

0 comments: