I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ramadan Mubarak

Pertandingan Bowling di Alamanda,Putrajaya

Majlis Sambutan Hari Lahir Pegawai Pasukan C ( MAC,APRIL & MEI)

Rekreasi Pasukan C ke Jeram Toi

'Ada tawar menawar imbuhan percepat proses visa'

2:41 AM Edit This 0 Comments »
KUALA LUMPUR: Seorang saksi yang juga pengadu dalam perbicaraan rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Wahid Md Don memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, beliau ada tawar menawar berhubung imbuhan RM350 bagi setiap pekerja Bangladesh untuk mempercepatkan proses kelulusan visa.

Saksi pendakwaan ke-18, Mohamad Hasnan Hassan, 41, berkata, proses terbabit berlaku antara beliau dengan seorang ejen pekerja asing, Buruganudeen Mohamed Ismail, 50, iaitu individu yang akan membantunya meluluskan visa dengan kuasa Ketua Pengarah Imigresen.

"Oleh kerana beliau ada jalan untuk mempercepatkan proses visa dengan kelulusan daripada Ketua Pengarah Imigresen, saya setuju mengadakan perbincangan dengannya. Pada awalnya jumlah yang diminta sebagai imbuhan sebanyak RM350 tetapi selepas saya berbincang dengan majikan yang mahukan kelulusan segera itu, mereka tidak bersetuju.



"Jadi saya berjumpa Buruganudeen untuk tawar menawar jumlah berkenaan antara RM200-RM250 bagi setiap pekerja. Bagaimanapun Buruganudeen tidak bersetuju dengan tawaran saya," katanya.

Katanya, beliau kemudian menelefon rakannya, Abdullah Che Man untuk meminta nasihat dan saksi dinasihatkan supaya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana perbuatan itu salah malah tiada bayaran perlu dibuat kepada kerajaan untuk kelulusan visa kerana ia adalah percuma.

Mohamad Hasnan berkata, selepas membuat aduan kepada SPRM beliau menyiapkan bank draf berjumlah RM87,500 menggunakan simpanan sendiri untuk 250 pekerja Bangladesh.


Katanya, SPRM juga menyediakan wang tunai RM1,750 bagi lima lagi pekerja asing seperti yang diberitahu kepada Buruganudeen terdapat permintaan tambahan.

Pendatang digempur: Jabatan Imigresen lancar operasi besar-besaran tangkap, usir mulai 15 Februari

7:08 PM Edit This 0 Comments »


PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai 15 Februari ini bagi menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata operasi itu akan ditumpukan kepada sektor barisan hadapan seperti bidang perkhidmatan.

Pati yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh juga dikenakan sebat.



Abdul Rahman berkata, majikan yang didapati melindungi Pati pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007, selain Akta Imigresen 1959/63.

"Apabila menggajikan Pati, ia menimbulkan risiko eksploitasi, keberhutangan dan perhambaan oleh

majikan. Peluang majikan menindas adalah besar dan ini semua adalah memperdagangkan orang," katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendedahkan 39,046 rakyat India 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Abdul Rahman berkata, dalam pertemuannya dengan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi, pada Disember lalu, agensi penguat kuasa itu diminta memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman berat ke atas pesalah terbabit.

Mengikut Akta Imigresen, majikan yang didapati bersalah menggajikan Pati boleh dikompaun maksimum RM5,000 bagi seorang pekerja, manakala yang melindungi golongan itu pula boleh dikenakan sebat selain kompaun.

Abdul Rahman bagaimanapun berkata, bermula sekarang hingga 14 Februari, jabatan itu akan melaksanakan 'tempoh pendidikan' bagi memberi peluang semua PATI dan majikan terbabit menyerah diri.

Beliau berkata, walaupun tiada operasi pengampunan dilaksanakan, majikan dan Pati yang menyerah diri sebelum 15 Februari mungkin diberi pertimbangan untuk mendapat hukuman yang lebih ringan sama ada oleh jabatan atau mahkamah.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Kedutaan Tinggi India di Malaysia pula berkata, pihaknya bersedia menghantar pulang rakyatnya yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi itu.

"Kita sehingga kini masih tidak pasti sama ada rakyat India yang dikatakan 'hilang' itu masih berada dalam negara atau sudah ke negara lain. Bagaimanapun, kita akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen," katanya.

Kerajaan Perkemaskan Pemulihan Banduan Atasi Kesesakan Penjara

6:40 PM Edit This 0 Comments »
KAJANG, 19 Jan (Bernama) -- Kerajaan melakukan pelbagai langkah drastik bagi mengatasi masalah kesesakan penjara di negara ini, termasuk dengan memperkemaskan sistem dan program pemulihan banduan, kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Zulkifli Omar.

Katanya sistem parol yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara sejak Julai tahun lepas menunjukkan kesan yang positif dalam program memulihkan pesalah yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan banduan di penjara.

"Pada tahun ini, seramai 993 banduan telah selesai menjalani sistem parol manakala seramai 193 orang lagi masih menjalani parol," katanya selepas menerima lawatan rombongan daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Penjara Kajang di sini, Selasa.

Beliau berkata hampir satu pertiga daripada jumlah banduan di seluruh negara terdiri daripada warga asing dan ini menjadi salah satu faktor utama kesesakan penjara.

Katanya sehingga 17 Jan, terdapat 10,833 banduan warga asing daripada keseluruhan 32,130 banduan di 31 penjara di seluruh negara yang mempunyai kapasiti 36,740 orang.

Menurut beliau, warga Indonesia merupakan banduan paling ramai dengan kira-kira 5,000 orang.

Lebih 50 peratus daripada kesalahan yang dilakukan oleh warga asing ini meliputi kesalahan di bawah Akta Imigresen, misalnya memasuki negara ini secara haram.

"Warga asing penyumbang terbesar masalah kesesakan di penjara seluruh negara termasuk di Kajang... pihak penjara sedang membuat penyusunan semula kedudukan banduan di penjara secara berperingkat bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata banduan seharusnya tidak dilihat sebagai tahanan, sebaliknya masyarakat perlu mengubah persepsi itu dengan memberi peluang kedua kepada bekas banduan untuk memulakan kehidupan baru selepas tamat hukuman.

"MCPF menggesa masyarakat ubah persepsi terhadap banduan, patut beri sokongan penuh kepada banduan yang bebas mula hidup baru dalam mencari rezeki dan ibu bapa menerima kembali anak mereka yang tamat hukuman bagi menjadikan proses pemulihan mereka lebih efisien," katanya.

Lee berkata aspek pemulihan dan tanggungjawab memulihkan bekas banduan tidak harus diletakkan di atas bahu pihak penjara semata-mata, tetapi harus dipikul bersama termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Ibu Tunggal Diperintah Bela Diri Cederakan Pembantu Rumah

6:17 PM Edit This 0 Comments »


KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini Selasa memerintahkan seorang ibu tunggal membela diri bagi tuduhan menyebabkan kecederan teruk terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan air panas dan gunting tahun lepas.

Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata pihak pendakwaaan telah berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Hau Yuan Tyng.

Hau, 44, bekas ejen hartanah, menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk dan satu pertuduhan mengakibatkan kecederaan terhadap Siti Hajar Sadli, 34, di Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara antara Februari dan Jun 2009.

Terdahulu, dalam hujahnya, timbalan pendakwa raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff berkata keterangan yang diberi oleh Siti Hajar tentang kecederaan yang dialaminya, tidak bercanggah dengan keterangan Dr Margaret Loew Poh Gaik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mohd Hafiz berkata Dr Loew mendapati kecederaan yang dialami tubuh mangsa akibat disimbah dengan air panas dan kesan melecur pada lengannya adalah masih baru.

"Dr Loew mendapati di dahinya (Siti Hajar) terdapat keruping yang baru saja terbentuk akibat terkena benda panas serta tidak dicuci atau dirawat," kata Mohd Hafiz.

Beliau berkata pemeriksaan sinar-X yang diminta dibuat oleh Dr Syamsul Rizal Abu Amin juga mengesahkan bahawa tulang hidung Siti telah patah, mungkin kerana dihentak dengan benda tumpul dan pada pendapat beliau, mungkin sejenis benda keras yang berbentuk bulat di hujungnya.

"Siti mengalami kecederaan pada kedua-dua pahanya setelah tertuduh menggunakan gunting untuk mencederakannya apabila dia (tertuduh) tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengurutnya," kata beliau.

Dalam hujahnya pula, peguam M. Manoharan yang mewakili Hau, berkata walaupun pelbagai barang kes seperti pisau, kerusi, gunting dan tukul dikemukakan kepada mahkamah, tetapi pihak pendakwaan gagal menunjukkan objek yang didakwa digunakan bagi mencederakan pembantu rumah berkenaan.

Kata beliau, dalam keterangannya, Siti Hajar berkata gunting yang dimaksudkan adalah daripada jenis yang lazim digunakan bagi memotong pokok, tetapi benda itu tidak dikemukakan, manakala tukul yang didakwa digunakan bagi memukulnya pula, berbeza dengan yang dikemukakan kepada mahkamah.

Selain itu, kata Manoharan, mangsa juga tidak melaporkan sendiri kepada polis dakwaan bahawa dia telah didera, tetapi dibuat oleh seorang kakitangan Kedutaan Indonesia.



"Kegagalan mangsa melakonkan semula bagaimana dia melarikan diri dari unit kondominium berkenaan apabila diminta berbuat demikian oleh pegawai penyiasat, juga menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan apabila wanita itu mendakwa dia melarikan diri setelah memecahkan jeriji dengan menggunakan tukul.

"Malah, semasa pemeriksan balas utama, pegawai penyiasat Insp Zulkefly Zainuddin bersetuju bahawa adalah mustahil bagi seseorang yang mempunyai saiz tubuh seperti Siti Hajar boleh meloloskan diri melalui jeriji berkenaan," kata Manoharan.

Hau, yang bertindak sebagai saksi pertama pihak pendakwaan pada perbicaraan ini, memberitahu mahkamah bahawa dia menggajikan Siti, terutama untuk menjaga anak lelakinya berusia 11 tahun, yang mengalami penyakit autistik.

Katanya sejak diambil bekerja pada Jun 2006, Siti Hajar menemani anaknya itu ke sekolah khas di Jalan Klang Lama dari 1.30 petang hingga 4.30 petang pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.

Perbicaraan di hadapan hakim Komathy akan disambung pada 9 Feb. -- BERNAMA

Visa waktu ketibaan masih relevan?

8:22 AM Posted In Edit This 0 Comments »
Visa waktu ketibaan (VOA) telah diperkenalkan pada tahun 2006 dan ia digunakan pada 2007 sebagai salah satu mekanisme untuk menggalakkan pelancong asing ke Malaysia. Tidak dapat dinafikan sejak pengenalan VOA, ia telah mendatangkan masalah terutama kewujudan migrasi yang tidak sah atau pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sejak diperkenalkan sehingga tahun 2009, jumlah warga asing yang tinggal lebih masa dengan menggunakan VOA adalah seramai 75,462 orang atau 28 peratus daripada 271,391 pemegang visa tersebut yang kebanyakan datang dari India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan China.

Walaupun ia dilihat sebagai landasan peningkatan PATI, namun peranannya sebagai salah satu mekanisme untuk menggalakkan pelancong asing datang ke Malaysia adalah dianggap masih relevan.

Tambahan, Kementerian Pelancongan mengumumkan industri tersebut telah berjaya menjana pendapatan negara sebanyak RM60 bilion dan dijangka akan bertambah pada masa hadapan dengan meningkatkan strategi pemasaran.

Justeru, adalah sukar untuk kita menafikan peranan VOA terutama dalam meningkatkan industri pelancongan di Malaysia. Ini kerana selain kestabilan politik dan ekonomi yang wujud di Malaysia, pelancong juga inginkan kemudahan terutama dalam proses untuk memasuki sesebuah negara. Oleh itu, dengan kerenah birokrasi yang pelbagai mungkin ia akan menjejaskan minat seseorang untuk melancong ke sesebuah negara.

Apa yang perlu dilakukan ialah bukan menuding jari kepada sistem tersebut tetapi koordinasi antara agensi-agensi berkaitan perlu ditingkatkan dan diperkemaskan bagi memastikan sistem ini dapat dilaksanakan dengan lebih efektif tanpa menimbulkan masalah terutama yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam meningkatkan tahap keberkesanan tersebut, pelaksanaan VOA perlu mempunyai koordinasi dan pemantauan yang jitu terutama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan.

Agensi-agensi yang berkaitan pula perlu mempunyai suatu pelan yang komprehensif dan realistik supaya objektif VOA dapat dicapai dan kedaulatan negara tidak tergadai. Situasi ini adalah sama seperti isu pengambilan pekerja asing dan pelajar asing.

Pihak-pihak yang terlibat seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri juga perlu meningkatkan kerjasama dan pemantauan bersama supaya isu-isu yang berkaitan PATI ini dapat ditangani dengan berkesan.

Ini kerana masalah warga asing yang tinggal lebih masa bukan hanya berlaku dalam konteks pelancongan sahaja, tetapi ia juga boleh melibatkan sektor-sektor lain seperti pendidikan dan pekerjaan.

Oleh itu, antara tindakan drastik yang boleh digunakan oleh kerajaan bagi mengekang isu ini ialah dengan mengantungkan kemudahan VOA kepada negara-negara yang rakyatnya terlibat dalam penyalahgunaan visa tersebut.

Langkah ini bertujuan supaya negara terbabit lebih serius dan meningkatkan penguatkuasaan terutama isu yang melibatkan PATI. Tindakan ini dirasakan tidak menjejaskan industri pelancongan negara.

Kerana kebanyakan negara yang terlibat dalam isu penyalahgunaan VOA merupakan negara-negara yang diketahui mempunyai masalah tertentu seperti pengangguran yang tinggi, ekonomi domestik yang tidak stabil, keadaan politik yang tidak menentu dan peningkatan populasi penduduk.

Berdasarkan situasi tersebut, besar kemungkinan kedatangan mereka bukanlah disebabkan untuk tujuan pelancongan tetapi mungkin ada sebab-sebab lain terutama ingin mendapatkan pekerjaan.

Di samping itu, kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pihak-pihak kedutaan di negara berkenaan dalam meningkatkan pemantauan dan memperkemaskan penyelarasan supaya isu penyalahgunaan ini dapat dibanteras dengan berkesan.

Mungkin kita boleh meminta kerjasama dengan pihak kedutaan supaya setiap pelancong yang ingin menggunakan sistem VOA ini perlu menyediakan bon jaminan seperti mengenakan bayaran dan meletakkan pasport mereka di pejabat kedutaan dan mereka hanya diberikan kad tertentu sebagai ganti identiti diri mereka.

Dua penjamin dari negara asal juga perlu diberikan supaya ia boleh menjadi penghalang kepada kegiatan penyalahgunaan berleluasa. Jaminan ini adalah perlu untuk mencari penyelesaian terutama yang melibatkan isu-isu migrasi haram di negara kita.

Pada masa yang sama kerajaan juga perlu menguruskan pelancong-pelancong yang datang ke negara ini dengan efisien dan efektif terutama dalam meningkatkan tahap keselamatan. Aspek keselamatan menjadi keutamaan kepada pelancong sebelum mereka membuat keputusan untuk melancong ke sesebuah negara.

Pengurusan sistem VOA yang tidak efisien akan memberi implikasi yang buruk kepada negara dan mengancam keselamatan negara sama ada dalam aspek ekonomi, politik dan sosial. Ini kerana sesetengah PATI akan menggunakan landasan ini sebagai suatu tren migrasi yang baru.

Mungkin sebelum ini mereka terpaksa datang ke Malaysia melalui laluan tikus, tetapi sekarang mereka akan menggunakan laluan yang sah dan terbuka. Dari aspek ekonomi, kehadiran warga asing ini akan memberi implikasi yang buruk terutama dalam sektor pekerjaan.

Secara rasionalnya, kebanyakan warga asing yang tidak dapat dikesan adalah datang daripada negara yang mempunyai masalah tersendiri terutamanya aspek ekonomi. Bagi tujuan survival mereka, sudah tentu kita boleh menjangkakan mereka akan cuba untuk mendapatkan pekerjaan dan akhirnya mereka dikategorikan sebagai pekerja asing tanpa izin.

Oleh itu, penglibatan mereka boleh meningkatkan persaingan sama ada dalam konteks perniagaan atau pekerjaan di kalangan penduduk tempatan.

Di samping itu, ia juga boleh membawa kepada kesan politik dan keselamatan negara. Ini kerana pernah suatu ketika semasa negara mengambil pekerja-pekerja Indonesia, kerajaan telah dituduh mempergunakan mereka untuk memperkuatkan parti-parti politik berasaskan Melayu.

Jika keadaan tersebut diambil kira, maka hampir 40,000 warga India yang didapati hilang kerana menyalahgunakan VOA boleh dianggap sebagai memperkuatkan komuniti India oleh pihak-pihak tertentu.

Persepsi seperti ini jika berterusan ditakuti akan mewujudkan konflik perkauman sementa negara kita sekarang dilanda pelbagai isu-isu agama dan perkauman. Manakala, hubungan diplomasi antara kerajaan juga akan terjejas apabila warganya terlibat dalam isu keselamatan negara seperti pengganas atau militan.

Di samping itu, sesebuah negara itu juga akan dituduh sebagai negara pengganas dan mendapat kecaman daripada masyarakat antarabangsa.

Tingkat survival yang tidak dapat dicapai oleh warga asing ini akan mendatangkan ancaman keselamatan negara terutama dalam menambah masalah sosial. Ini kerana mungkin untuk meneruskan kehidupan, mereka terpaksa melibatkan diri dengan aktiviti jenayah seperti merompak, mencuri, meragut atau terlibat dalam aktiviti haram seperti pelacuran atau buruh paksa.

Dengan itu, penyalahgunaan VOA ini juga boleh menjadi pemangkin kepada aktiviti jenayah terancang terutamanya aktiviti pemerdagangan orang.

Ini kerana pihak sindiket yang berkaitan akan menggunakan platform ini secara berterusan sebagai laluan utama dalam menjalankan aktiviti pemerdagangan orang sama ada dalam konteks eksploitasi seks atau pekerjaan.

Contohnya dalam isu pelacuran, warga asing yang terlibat akan menjalankan aktiviti ini dalam tempoh VOA itu dan kemudian pihak sindiket akan menggantikan orang lain bagi permohonan yang baru.

Pihak sindiket juga akan mengubah taktik kemasukan mangsa diperdagangkan supaya lebih bersifat lawatan keluarga dengan mempergunakan wanita dan kanak-kanak.

Taktik ini dipercayai dapat mengelak kegiatan mereka dihidu dan seterusnya mengaburi pengawasan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, lawatan Perdana Menteri ke India diharap dapat membincangkan dan mencari penyelesaian yang efektif kepada isu ini secara menang-menang.

Lantaran itu, pihak kerajaan diharap dapat mencari suatu mekanisme yang benar-benar berkesan dalam menangani masalah penyalahgunaan VOA di kalangan warga asing di negara kita.

Ini kerana, negara akan mengalami pelbagai masalah terutamanya akan melibatkan peningkatan PATI di negara kita. Di samping itu, masyarakat tempatan juga akan memberi tekanan dan mengecam cara pengurusan yang dilakukan oleh kerajaan.

Peningkatan kecekapan dan integriti di kalangan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas adalah sangat diharapkan. Kita tidak mahu pihak lain atau sistem yang disalahkan sedangkan pihak yang diamanahkan tidak menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Tempoh sah laku VOA mungkin disingkatkan - KDN

8:19 AM Edit This 0 Comments »
PUTRAJAYA 15 Jan. – Kerajaan mungkin memendekkan tempoh sah laku visa ketibaan (VOA) pelancong kepada beberapa hari sahaja berbanding sebulan sebelum ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, rancangan itu adalah salah satu langkah bagi memastikan kemudahan tersebut tidak terus disalahgunakan oleh sebahagian pelancong dari negara-negara tertentu.

"Langkah itu adalah antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat antara KDN dengan wakil dari pelbagai kementerian di sini hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, semua pihak yang terbabit dalam perbincangan itu akan mengadakan satu lagi mesyuarat sebelum hasil dan syor mengenai soal VOA, pekerja asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa depan.

Mahmood berkata, cadangan memendekkan tempoh sah laku VOA itu juga dikatakan bersesuaian dengan tujuan melancong yang tidak memerlukan tempoh yang terlalu lama.

Kerajaan memperkenalkan kemudahan VOA pada sempena Tahun Melawat Malaysia 2006. - Bernama

Polis tahan 11 warga Afrika

2:41 AM Posted In Edit This 0 Comments »
AMPANG 8 Jan. - Lelaki warga Afrika atau lebih dikenali sebagai 'awang hitam' semakin melampau! Mereka dikatakan mula mengganggu wanita-wanita tempatan di pusat beli-belah Ampang Point dan beberapa kawasan di sekitarnya.

Berikutan dua laporan polis yang diterima sejak 1 Januari lalu, polis hari ini melancarkan Ops Gagak dan telah menahan 11 suspek yang disyaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, polis menerima aduan daripada dua wanita yang merupakan suri rumah mendakwa mereka didatangi sekumpulan lelaki Afrika.

"Sekumpulan lelaki itu didakwa cuba menarik tangan dan 'beramah mesra' dengan mereka.

"Tindakan mereka itu menyebabkan mangsa tidak selesa dan ketakutan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi di sini hari ini.

Katanya, polis telah memeriksa 20 lelaki Afrika dan menahan 11 daripada mereka yang disyaki terlibat.

Menurut Abdul Jalil, kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Polis akan meminta bantuan Jabatan Imigresen untuk memeriksa latar belakang dan rekod kemasukan awang-awang hitam ini," jelasnya.

Ujar Abdul Jalil, selain wanita, para pemilik premis perniagaan di situ turut melahirkan rasa kurang senang dengan kelibat lelaki Afrika tersebut kerana tindakan mereka menakut-nakutkan pelanggan, justeru menjejaskan perniagaan mereka.

Sindiket palsukan dokumen oleh warga Myanmar tumpas

2:40 AM Edit This 0 Comments »
BUTTERWORTH 7 Jan. - Satu sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen oleh warga Myanmar yang beroperasi seperti 'pusat pemprosesan setempat jabatan kerajaan' tumpas apabila tiga ahli kumpulan itu ditahan dalam dua serbuan Jabatan Imigresen di sini semalam.

Dengan menggunakan perisian komputer serba canggih, sindiket itu menyediakan perkhidmatan memalsukan MyKad, pasport, visa, pelekat pas lawatan kerja sementara, lesen memandu antarabangsa dan tempatan, kad pengenalan asing serta kad pengenalan ekspatriat.

Malah salah seorang suspek yang disyaki perancang utama sindiket itu dipercayai berjaya mengumpul pendapatan lebih RM48,000 hasil kegiatan tersebut walaupun baru beroperasi kira-kira tiga bulan lalu.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 8 malam, pihaknya menahan seorang lelaki warga Myanmar yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan Baru di sini.

''Hasil pemeriksaan, kita dapati lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala kereta yang dinaikinya pula mengandungi dokumen-dokumen meragukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas lelaki berusia 48 tahun itu, sepasukan anggota imigresen mengadakan serbuan kedua di sebuah rumah di Bukit Mertajam dekat sini yang dipercayai menjadi pusat memproses dokumen palsu.

Abdul Rahman memberitahu, hasil serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dan wanita warga China masing-masing berusia 48 dan 43 tahun yang dipercayai anggota sindiket berkenaan.

Selain itu kata beliau, pihaknya turut merampas beratus dokumen palsu termasuk MyKad, pasport, visa, pelekat pas lawatan kerja sementara, lesen memandu antarabangsa, kad pengenalan asing dan kad pengenalan tempatan.

Turut dirampas beberapa unit komputer, mesin pencetak dan alat pengimbas yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut.

''Hasil maklumat yang kita dapati menunjukkan lelaki warga Myanmar yang ditahan adalah perancang utama sindiket itu manakala lelaki tempatan berkenaan menyediakan perisian komputer bagi memproses dokumen-dokumen palsu tersebut.

''Wanita warga China berkenaan pula merupakan kekasih lelaki tempatan terbabit dan didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan," tambahnya.

Abdul Rahman berkata, sindiket tersebut menjadikan warga asing sekitar negeri ini terutamanya dari Myanmar, Nepal dan Indonesia sebagai sasaran ekoran permintaan tinggi daripada golongan itu.

Pekerja asing tidak dibenar buat dua kerja pada satu-satu masa

2:38 AM Posted In Edit This 0 Comments »
PUTRAJAYA 5 Jan. - Jabatan Imigresen memberi tempoh sebulan kepada majikan tempatan memahami peraturan yang tidak membenarkan pekerja asing melakukan pekerjaan di luar permit dikeluarkan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, jabatan itu tidak pernah meluluskan sebarang permohonan untuk membenarkan pekerja asing melakukan dua pekerjaan pada satu-satu masa.

Kata beliau, jabatan itu juga tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada pekerja asing untuk bekerja di barisan hadapan seperti pelayan, jurujual dan juruwang.

Sebagai contoh, katanya, seseorang pembantu rumah tidak dibenarkan bekerja di rumah saudara mara, di kedai runcit atau sebagai tukang gunting rambut.

"Biasanya majikan memberi alasan tidak tahu bahawa tindakan menyuruh pembantu rumah mereka melakukan kerja tambahan menyalahi undang-undang.

"Mulai sekarang kita yakin, dalam tempoh sebulan, majikan akan memahami perbuatan itu adalah salah memandangkan inilah kesalahan paling banyak dikesan di seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Imigresen akan memaklumkan kepada majikan mengenai perkembangan ini menggunakan saluran media, menyebarkan risalah, berdialog dan berjumpa dengan persatuan.

"Jika masih tidak dipatuhi, mereka akan dikenakan tindakan," tegas beliau.

Majikan yang ingkar akan didakwa mengikut Akta Imigresen Seksyen 55 yang boleh didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara manakala pekerja boleh didenda RM200 mengikut Seksyen 39B.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menjelaskan, kebanyakan majikan cuba mengaut keuntungan dengan membayar levi lebih murah.

"Sebagai contoh, untuk membayar levi penggunting rambut, majikan perlu membayar RM1,800 namun mereka memohon permit petani dengan kita kerana hanya perlu membayar RM350 sahaja," katanya.