I made this widget at MyFlashFetish.com.

Ramadan Mubarak

Pertandingan Bowling di Alamanda,Putrajaya

Majlis Sambutan Hari Lahir Pegawai Pasukan C ( MAC,APRIL & MEI)

Rekreasi Pasukan C ke Jeram Toi

Pegawai PDRM turut jaga pusat tahanan

7:46 AM Edit This 0 Comments »
Polis bantu pertingkat kawalan

PUTRAJAYA: Pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di semua 13 pusat tahanan sementara imigresen di seluruh negara, berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pengurusan Depoh Jabatan Imigresen di sini, semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, berkata penempatan 13 pegawai polis itu adalah tambahan kepada 210 pegawai RELA, 39 pegawai penjara dan 998 pegawai Imigresen yang diberi tanggungjawab untuk meningkatkan kawalan keselamatan di semua depoh tahanan terbabit.

Katanya, KDN mengakui ada kelemahan aspek kawalan keselamatan di depoh tahanan di seluruh negara kerana kebanyakan pegawai imigresen tidak diberikan pendedahan dan pengalaman menjaga tahanan kes pemerdagangan orang.

“Pegawai imigresen bukan dilatih untuk menjaga orang (tahanan), apabila kita sudah mesyuarat, baru kita nampak kita tidak ada kemahiran. Untuk melengkapkan kemahiran itu, kita sepadukan dengan (semua) jabatan di KDN.

"Kita berharap penempatan 13 pegawai polis berkenaan berkuat kuasa mulai jam 2 petang ini (semalam) dapat meningkatkan lagi keselamatan di semua depoh tahanan pada masa depan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong mengumumkan tanggungjawab pengurusan Depoh Jabatan Imigresen kepada tiga jabatan di dalam KDN iaitu Jabatan Penjara, Imigresen dan RELA, berkuat kuasa kelmarin.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar, berkata jabatan itu sedia menyumbang kepakaran dalam bidang kawalan keselamatan dan kepenjaraan, termasuk membekalkan kekuatan anggota di Depoh Tahanan Imigresen seluruh negara bagi mengelak insiden tahanan bolos berulang.

Katanya, jabatan itu akan melaksanakan kajian membabitkan aspek keselamatan di Depoh Tahanan Imigresen yang dikenal pasti bermasalah sebelum mempertingkatkan tahap kekuatan anggota dan kawalan keselamatan di pusat tahanan terbabit.

Beliau berkata, buat permulaan tiga anggotanya iaitu Penguasa Penjara, Timbalan Penguasa Penjara, Sub Inspektor atau Sarjan Mejar akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA di Sepang, Juru di Pulau Pinang dan Lenggeng, Negeri Sembilan.

"Kita hanya membantu dalam aspek menyelaras kawalan keselamatan dalam usaha memperkemaskan mutu perkhidmatan dan pengurusan di Depoh Tahanan Imigresen berkenaan.

"Jabatan Penjara akan bersama-sama dua agensi berkaitan membantu memperkemaskan mutu pengawasan supaya kejadian tidak diingini yang berlaku seperti sebelum ini tidak berulang.

"Pegawai Jabatan Penjara yang dihantar akan melihat apakah aspek yang perlu untuk diambil tindakan. Justeru, yang mana kita perlu kemaskan, kita akan kemaskan," katanya selepas Majlis Perasmian Galeri Produk Penjara Zon Utara di sini, semalam.

Pengarah syarikat tiada dokumen perjalanan

7:40 AM Edit This 0 Comments »
JOHOR BAHRU: Seorang Pengarah Syarikat warga Nepal didenda RM7,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskannya oleh Mahkamah Sesyen Imigresen Johor Bahru di sini, semalam.

Hakim Salawati Djambari memutuskan bahawa pihak pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Indra Bahadur Thapa yang turut memegang Pas Ekspatriat.

Tertuduh diwakili peguam Sri Kumar Ganapathy, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Aminuddin Zakaria.


Berdasarkan fakta kes, pada 21 Januari 2008, sepasukan anggota Imigresen menyerbu sebuah bangunan empat tingkat milik syarikat tertuduh dan menahan 11 warga asing kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah untuk tinggal di negara ini.

Pembatalan VOA Tidak Beri Kesan Buruk Kepada Sektor Pelancongan -Dr Ng

4:53 AM Edit This 0 Comments »
KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Pertumbuhan sektor pelancongan negara tidak akan terjejas berikutan pembatalan pengeluaran Visa Sewaktu Ketibaan (VOA) kerana bilangan mereka yang menggunakan kemudahan itu adalah kecil.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata tahun lepas hanya 9,000 orang sahaja memohon VOA di pintu masuk negara berbanding jumlah keseluruhan 23.65 juta pelancong yang datang ke negara ini.

"Saya tidak dapat melihat kesan negatif terhadap keputusan itu malah kami mempunyai kaedah alternatif iaitu Sistem Pemudahan Visa (VFS)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, hari Isnin.

Dr Ng berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan untuk tidak lagi memperkenalkan VOA kepada pelancong asing di pintu masuk di negara ini kerana didapati kemudahan tersebut banyak disalahgunakan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengenai sistem VFS, Dr Ng berkata syarikat pelancongan yang mempunyai banyak cawangan dalam sesebuah negara akan dipilih untuk melaksanakan sistem itu yang akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Katanya projek perintis penggunaan sistem VFS dijalankan di India menerusi syarikat Kuoni Trabel Limited, iaitu syarikat antarabangsa berpangkalan di Hong Kong.

"Menerusi sistem VFS, pelancong dari India boleh pergi ke syarikat itu untuk menguruskan visa mereka sebelum ke Jabatan Imigresen bagi proses kelulusan," katanya.

Menurutnya syarikat itu akan bekerjasama dengan kedutaan atau konsulat Malaysia di India.

Dr Ng berkata syarikat itu akan meneliti pemohon visa seperti latar belakang dan kesahihan dokumen sebelum laporan diberikan kepada pihak kedutaan Malaysia untuk proses kelulusan visa.

Katanya sistem VFS juga akan diperkenalkan di China dan cadangan itu akan dibincangkan dengan rakan sejawatannya Shao Qiwei yang melawat negara ini selama empat hari mulai esok.

"Saya akan meminta bantuan dia untuk mengenal pasti agensi pelancongan di China yang boleh menyertai projek sistem VFS ini. Saya harap sistem ini dapat diperluaskan ke China menjelang akhir bulan ini," katanya.

Pengeluaran VOA Kepada Pelancong Asing Dibatalkan - TPM

4:49 AM Edit This 0 Comments »
PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak lagi memperkenalkan semula visa waktu ketibaan (VOA) kepada pelancong asing di pintu masuk di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah membatalkan pelaksanaan VOA itu adalah kerana didapati kemudahan tersebut banyak disalahgunakan, sebelum ini.

"Pada masa lepas, kita beri kelonggaran kepada beberapa buah negara di mana kalau pelawat itu datang dari negara itu, mereka tiada visa... visa boleh dikeluarkan waktu mereka sampai di pintu masuk ke Malaysia.

"Ini (VOA), kita lihat berlaku kes-kes penyalahgunaan dan sebagainya. Kita bersetuju VOA dibatalkan atau tidak lagi diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat JawatankuasaKabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin di sini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini memutuskan bahawa29 daripada 50 syor dan inisiatif yang dikemukakan dalam makmal pengurusan wargaasing sebelum ini, boleh dilaksanakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, 19 lagi inisiatif tersebut memerlukan kajian lanjut manakala dualagi digugurkan kerana ia tidak wajar dilaksanakan.

"Bagi 29 inisiatif yang telah dipersetujui, kita akan teliti perkara ini. Saya sudah minta setiap agensi dan kementerian terlibat, yang dipertanggungjawabkanuntuk laksanakan inisiatif ini untuk menentukan bila waktu yang paling sesuaiuntuk dikuatkuasakan.

"Saya juga minta mereka membawa balik (laporan) kepada jawatankuasa Kabinet inipada mesyuarat akan datang," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya sebuah sekretariat tetap ditubuhkan sebagai mekanisme untuk menyusul pelaksanaan inisiatif makmal pengurusan warga asing tersebut.

Katanya, 12 pegawai daripada pelbagai agensi dan kementerian akan ditempatkandi sekretariat itu, yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri bagimemantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu yang melibatkan pelbagai bidang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju agar langkah-langkah untuk menangani pekerja asing tanpa izin dikuatkuasakan dengan lebih berkesan lagi.

Katanya, penguatkuasaannya akan melibatkan 'total solution' iaitu mulai diperingkat awal iaitu semasa pendaftaran sehinggalah ke peringkat akhir melibatkan penguatkuasaan.

"Maka, setiap peringkat kita akan perkukuhkan peraturan dan tindakan supayamasalah pekerja asing tanpa izin dapat diatasi secara lebih berkesan.

"Angka pekerja asing tanpa izin di negara ini besar dan ini menimbulkan masalah kepada negara," katanya. - BERNAMA

Pas Khas Ganti Visa Untuk Pembantu Rumah Pelancong Asing

4:00 AM Edit This 0 Comments »
PUTRAJAYA, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan memberi kebenaran masuk berbentuk Pas Khas kepada pembantu rumah untuk keluarga pelancong asing yang berkunjung ke negara ini mulai esok, bagi memudahkan mereka membawa bersama pembantu rumah ketika bercuti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kelulusan itu akan disediakan oleh Jabatan Imigresen di kaunter Imigresen di semua lapangan terbang antarabangsa seluruh negara dengan kadar paling minimum bagi setiap Pas Khas.

"Kami dapat maklum balas ramai pelancong yang datang bersama pembantu rumah masing-masing yang kadangkala dari negeri yang memerlukan visa, ini akan menyusahkan pelancong, maka kami telah memudahkan proses pembantu rumah itu untuk bersama-sama dengan pelancong berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Hishammuddin berkata inisiatif itu sejajar dengan peranan kementerian sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Kerja Kemudahan Masuk Pelancong Asing di Pintu Masuk Negara (JKKMPAPMN) yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Kabinet Pelancongan.

Beliau berkata kementerian akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi urusan penyediaan Pas Khas ini bagi memastikan ia berjalan lancar dan mengelak sebarang unsur negatif atau salah guna oleh mana-mana pihak.

Hishammuddin berkata beberapa perkara perlu dipatuhi berhubung kelulusan itu iaitu pihak majikan perlu menjadi penganjur kepada pembantu rumah yang ingin dibawa masuk bersama mereka dengan mengisi satu borang khas semasa tiba di pintu masuk Malaysia.

Beliau berkata pembantu rumah itu juga perlu masuk ke negara ini bersama-sama dengan majikan dan bukan pada masa, tarikh atau hari yang berbeza.

Beliau berkata selain itu, Pas Khas yang diberikan kepada pembantu rumah perlu dikepilkan bersama dalam pasport mereka manakala tempoh sah Pas Khas yang membenarkan pembantu rumah tinggal di Malaysia akan diselaras dengan tempoh tinggal Pas Lawatan Sosial majikannya.

"Saya percaya pemberian Pas Khas untuk pembantu rumah ini mampu memberi impak positif kepada kemasukan pelancong asing terutama dari golongan berada untuk datang ke Malaysia.

"Selain itu ia juga mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam memudahcarakan pemberian kemudahan imigresen kepada pelawat asing tanpa mengabaikan faktor-faktor keselamatan," katanya.

Mengenai pelaksanaan semula Transit Tanpa Visa (TTV) seperti yang diumum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lepas, Hishammuddin berkata kementerian sedang memperincikan kriteria khas pemberian kemudahan itu.

Beliau berkata kementerian juga akan menggariskan bentuk peranan dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi syarikat penerbangan dan agensi pelancongan berkaitan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata kementerian akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dalam memantau tindakan pihak tertentu yang berkampung di kubur bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Abuya.

"Polis tiada kuasa untuk ambil tindakan sebab ini hal agama, tapi polis bekerjasama rapat dengan mereka dan jika mereka hendak ambil tindakan pihak polis akan bersama," katanya.

Cari rezeki isi borang

3:49 AM Edit This 0 Comments »
KUALA LUMPUR: Sebelum melangkah masuk ke pejabat Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan di sini, anda pasti akan disapa beberapa individu yang menawarkan bantuan untuk mengisi borang seperti borang memohon pasport atau visa.

Menurut seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Emma, 25, tujuannya mengambil upah membantu pelanggan untuk mengisi borang sekadar memudahkan mereka dalam urusan rasmi itu.

“Selalunya, saya tolong pelanggan yang mempunyai masalah untuk mengisi borang seperti tiada gambar, tidak faham format dan tiada salinan kad pengenalan.


“Mula-mula memang mereka tak mengendahkan saya tapi apabila borang mereka sudah ditolak pegawai bertugas, barulah mereka cari saya,” katanya yang mengenakan caj bayaran RM2 sebagai upah mengisi borang permohonan pasport.


Katanya, ada juga pelanggan datang menemuinya selepas tidak berpuas hati dengan layanan pegawai imigresen bertugas seperti tidak menerangkan syarat penuh borang yang perlu diisi mereka.


“Jika mereka datang jumpa saya, saya akan tolong mereka dari awal proses sampai habis dengan upah yang tidak mahal dan mereka cuma perlu beritahu saya butir pengenalan diri mereka saja,” katanya yang mengaku mampu memperoleh RM1,000 sebulan dengan melakukan pekerjaan itu bagi menyara keluarga.


Bagi Lau Kim Heng, 43, pula selalunya dia akan membantu pelanggan mengisi borang dan menyuruh mereka mengambil gambar di kedai foto milik majikannya jika mereka tidak membawa foto berukuran pasport.

Sembilan GRO China Ditahan Di Premis Yang Pernah Diserbu Dua Hari Lalu

5:01 AM Edit This 0 Comments »
PULAU PINANG, 8 Mei (Bernama) -- Sembilan pelayan pelanggan (GRO) warga China ditahan dalam satu operasi polis di sebuah pusat hiburan di tingkat satu sebuah hotel di Jalan Anson di sini pada Jumaat tengah malam.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata pusat hiburan itu baru sahaja diserbu Khamis lepas oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang yang membawa kepada penangkapan 25 wanita warga China yang berkerja sebagai GRO.

Beliau berkata serbuan malam tadi dilakukan selepas polis membuat intipan selama beberapa hari, selain mendapat maklumat orang awam mengenai aktiviti di premis yang dijadikan sebagai disko, karaoke dan bar itu, yang sering mengambil wanita warga asing sebagai GRO.

"Serbuan dilakukan oleh Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Timur Laut kira-kira pukul 12 tengah malam," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata semua wanita yang berumur antara 20-an dan 30-an itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta melanggar syarat permit, dan sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.